Bagaimana untuk menilai dan menetapkan prestasi kerja dalam organisasi dan pasukan anda? Mungkin ini boleh membantu :
1. Tetapkan sistem. Buat kajian untuk mendapatkan idea-idea utama tentang organisasi dan pasukan anda. Siapakah ‘pelanggan’ sebenar anda? Apakah keperluan mereka? Bagaimana keperluan ini ditimbangnilai? Apakah produk dan perkhidmatan yang anda bekalkan sekarang? Apakah sumber yang anda miliki yang boleh memenuhi keperluan pelanggan?
2. Dokumenkan visi dan misi anda. Tentu anda pernah melihat visi dan misi sesebuah organisasi terpampang di pejabat tertentu. Bagaimana untuk menghasilkannya? Secara mudahnya, anda boleh mencari jawapan kepada soalan-soalan berikut; Siapa anda? Apakah yang anda lakukan? Bagaimana anda menyediakan produk dan perkhidmatan anda? Siapakah yang menggunakan perkhidmatan anda? Di manakah pelanggan anda? Kenapa anda wujud? Kemudian, gabungkan menjadi ayat-ayat yang ringkas dan senang untuk difahami.
3. Kenalpasti penunjuk kepada kunci prestasi dan pelaksanaan. Ia banyak berkait dengan kualiti produk dan servis, kos yang efektif, mengikut penjadualan masa, dan selamat. Kenalpasti apakah penunjuk-penunjuk yang boleh memberikan anda prestasi yang anda punyai sekarang. Ia mestilah senang untuk diperolehi, tepat, dan boleh ‘dikawal’ oleh anda sendiri.
4. Tentukan tahap prestasi anda sekarang. Berdasarkan penunjuk kunci prestasi di atas, buat kajian untuk menilai sejauh manakah prestasi anda dan organisasi. Anda boleh membuat penyelidikan dengan mendapatkan pendapat pelanggan, pekerja, orang ramai dan pakar dalam bidang tersebut. Setelah itu, dokumentasikan dalam bentuk yang mudah untuk dirujuk.
5. Tetapkan matlamat dan sasaran. Mudah sahaja, ia mestilah spesifik, boleh ditimbangnilai, dipersetujui bersama, realistik, dan mempunyai kerangka masa.
6. Buat matlamat dan sasaran ‘mini’. Kadangkala ada matlamat yang mengambil masa sehingga berbulan-bulan lamanya. Ini sukar untuk dibuat penilaian. Oleh itu, ‘pecahkan’ matlamat seperti itu kepada sub-matlamat, ataupun ‘matlamat mini’. Ini lebih mudah untuk ditimbangnilai oleh anda dan pasukan.
7. Tetapkan standard yang paling minimum. Jika tidak mampu untuk mencapai yang terbaik seperti sasaran, apakah pencapaian yang paling rendah yang boleh anda terima? Seeloknya, tidak perlu didedahkan standard ini kalau tidak perlu. Jika tidak, fokus ahli dalam pasukan akan terganggu dan mungkin mereka hanya berusaha untuk mencapai standard yang rendah sahaja.
8. Masa yang cukup untuk membuat perubahan. Bukan senang untuk melakukan perubahan. Berilah masa mengikut kerangka masa yang sesuai. Setelah itu, buatlah penilaian samada sasaran yang diingini berjaya dicapai ataupun tidak.
9. Rancang pembaikan jika ada kesilapan. Tidak ada yang sempurna dalam dunia ini. Kesilapan dan kekurangan bukan sesuatu yang luar biasa. Analisa punca kekurangan tersebut, dan cari jalan bagaimana untuk memperbaiki kerosakan. Jika tidak boleh diperbaiki, kurangkan kadar kerugian yang terpaksa ditanggung.10. Buat muhasabah dan post mortem. Ini penting untuk menilai prestasi sebenar. Biar sehebat manapun kejayaan yang dicapai, anda masih perlu untuk melakukan ini. Buat pengiraan terhadap kerugian yang berlaku, perbelanjaan yang boleh dikurangkan, tindakan yang boleh ditinggalkan, prioriti yang tidak tepatn dan banyak lagi. Selepas itu, buat dokumentasi untuk rujukan masa hadapan..

No comments:
Post a Comment